Mulakan dengan Bismillah..

Mulakan dengan Bismillah..

Saturday 4 July 2015



Assalamualaikum..
 
 
Setelah sekian lama tidak menulis apa-apa catatan, kami kembali untuk mengaktifkan semula blog ini. Alhamdulillah, sekarang ini, Effasignature menumpu kepada dua fokus perniagaan online. Matlamat utama adalah untuk  mencari keredhaan Ilahi dalam bidang perniagaan.
 
 


Di blog ini, kami menceritakan pengalaman perjalanan hidup kami dalam menubuhkan jenama Effasignature. Walaupun masih di peringkat awal, diharap coretan ini dapat memberi sedikit pengajaran buat diri kami dan mereka yang membaca. Sila klik link-link di bawah untuk ke Facebook perniagaan online Effasignature
 
 
 
 
 
https://www.facebook.com/tudung.labuh.effasignature
 
 
 
 
 
 
 
Fokus terhadap peniagaan wallet, purse, handbag dan sebagainya yang 100% Original, berkualiti dari pelbagai jenama antarabangsa seperti Fossil, Coach, MK, Guess, Tommy Hilfiger dan lain-lain. Paling PENTING, harganya MAMPU MILIK..
 
 

 
 
 
Mencetus fenomena tudung 'ready for solat' yang elegan, berkualiti dan eksklusif. Pelbagai tudung dari jenis biasa, shawl, instant dan telekung dengan pelbagai design dan corak eksklusif. Jaminan kami tudung-tudung ini sangat patuh syariah dan boleh terus digunakan untuk solat tanpa perlu memakai telekung..
 
 
 

Wednesday 12 September 2012

Pengalaman Mencabut Gigi Geraham ketika Hamil



Beberapa hari yang lalu saya telah terkena sakit gigi. Mula-mula tu cuma rasa denyut-denyut yang agak ringan sahaja. Tetapi denyut-denyut itu berpanjangan untuk jangkasamasa yang lama..sepanjang siang dan malam. Saya dah cuba bersihkan gigi dengan flos gigi dan sebagainya, tapi punca sakit gigi tu tak dapat di kesan. Gusi pun tidak membengkak. Sakit bertambah ketara dan menyiksakan pada hari yang ketiga apabila saya cuba berkumur dengan air suam dan makan aiskrim..kedua-dua cara tersebut menyebabkan sakit  gigi saya bertambah teruk.Saya cuba berkumur dengan air garam yang dibancuh dengan air kosong pada suhu biasa..kesannya tetap sama..bertambah sakit

Jadi selepas 3 hari menahan ketakselesaan tersebut saya pun pergi ke Klinik Pergigian Kerajaan. Klinik pergigian agak lengang. Disitu saya membuat kesimpulan..rakyat malaysia ni cuma datang klinik gigi bila gigi dah sakit. Pemeriksaan gigi secara berkala jarang dilakukan...saya pun tak terkecuali termasuk dengan golongan tu..hehe..

Ketika berjumpa Dr gigi, Dr bertanyakan masalah saya dan beliau perlu mencabut dulu tampalan gigi yang lama pada gigi geraham tersebut untuk buat pemeriksaan lanjut. Sebelum kerja-kerja tersebut dilakukan saya diberi bius terlebih dahulu. Setelah melakukan pemeriksaan, beliau mengesahkan gigi geraham saya telah retak sedikit. Dr mencadangkan dua pilihan, samada nak cabut gigi atau nak buat rawatan akar. Rawatan akar agak rumit kerana melibatkan banyak prosedur x-ray perlu dilakukan. Sedangkan pada ketika ini saya sedang hamil 7 bulan. Jadi rawatan akar adalah tidak sesuai untuk saya. Oleh kerana kesan retak itu tidak dapat dikenalpasti telah sampai ke saraf gigi atau tidak, maka Dr hanya menampal gigi geraham saya. Saya disuruh datang sekali lagi jika sakit gigi tersebut tidak berkurangan. 

Apabila kesan bius telah habis, saya dapati gigi saya bertambah sakit daripada sebelumnya...sampai tak boleh nak tidur..kali ni saya terpaksa ambil Panadol untuk tidur. Jadi keesokan harinya saya sekali lagi datang ke Klinik dan berjumpa Dr yang sama. Setelah berbincang, kali ini memang saya tidak ada pilihan selain mencabut gigi geraham tersebut. Saya telah diberi bius sebelum mencabut gigi. Sementara menunggu ubat bius berkesan, saya sempat menghantar SMS kepada suami supaya mendoakan saya supaya selamat (macam nak bersalin pula). Saya merasa agak bimbang jika berlaku komplikasi seperti pendarahan  dan sakit  yang berterusan (hasil carian saya di google). Saya banyakkan berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan dan melindungi saya daripada sebarang kemudaratan. 


Alhamdulillah gigi saya telah berjaya dicabut. Dr menasihatkan saya agar tidak mengambil makanan dan minuman yang panas. Lain-lain tu saya dah terlupa..dan terpaksa cari di Google tentang perkara yang tak boleh dilakukan selepas mencabut gigi geraham..antaranya.. dalam tempoh 24 jam tidak boleh berkumur, tidak boleh gosok gigi, tidak boleh menggosok tempat cabutan dengan jari dan lidah dan mengambil makanan minuman yang panas dan makanan yang keras. Lama juga pendarahan nak berhenti. Pukul 10.30 pagi saya cabut gigi, pukul 2.30 petang baru pendarahan berhenti. Maka tidak lah terjadi pendarahan yang berterusan seperti yang saya bimbangkan..Alhamdulillah. Ketika menjelang petang, sakit gigi saya telah hilang, tinggal lagi saya perlu menjaga bahagian yang dicabut sehinggan sembuh sedia kala.

Sebelum mencabut gigi, saya memang bimbang sebab banyak sangat mitos tentang orang mengandung tidak digalakkan mencabut gigi. Tapi menurut Dr, kandungan saya sudah 7 bulan, jadi tidak ada masalah untuk mencabut gigi, jadi saya percaya dan ikut kata-kata Dr. Selebihnya saya serahkan pada Allah. KepadaNya kita bertawakkal.

Monday 25 June 2012

Anniversary ke-6 Perkahwinan

Alhamdulillah..pada 23 April yang lalu genap 6 tahun usia perkahwinan kami. Tidak seperti hari-hari biasa menyambut ulangtahun perkahwinan yang sebelum ini kami raikan dengan keluar bedua, makan di restoran mahal atau menonton wayang. Tapi pada ulang tahun perkahwinan yang ke 6 ini lebih bermakna kerana kami sibuk sepanjang hari menguruskan pasport dan gambar visa terbaru bagi mengerjakan umrah..Umrah kami yang pertama..umrah wajib yang patut kami kerjakan. Asalnya, kami tiadak pernah merancang untuk menjalani ibadah umrah pada tahun ini kerana ingin menunaikan haji terlebih dahulu, namun, diriku telah disahkan hamil, dan jika ingin menunaikan haji pada tahun ini, maka tak sempatlah sebab bayiku dijangka lahir pada bulan November 2012, Jadi, sebagai pengganti untuk tidak terlepas peluang ke Tanah Suci Makkah  tahun ini, maka kami ambil keputusan untuk mengerjakan Umrah.

Thursday 10 May 2012

Mengelakkan rekahan ( stretch mark) pada perut ibu mengandung

Alhamdulillah, kini saya disahkan mengandung sekali lagi, anak yang ke empat. Sejak kejadian yang menimpa pada 19 april tahun lepas kini Allah yang Maha Pemurah mengurniakan lagi seorang anak kepada kami( anda boleh membaca entry sekitar april dan mei tahun 2011, untuk mengetahui tentang dugaan yang menimpa kami kami sekeluarga). Sebagai ibu yang mengandung, anda patut terus optimis dan bersemangat untuk menjaga kecantikan. Pada masa ini kebanyakan ibu mengandung terlupa nak jaga kecantikan diri sendiri. Selepas bersalin anak yang pertama kebanyakannya mengadu kulit perut merekah dan tak cantik akibat strecth mark. Tahukan anda bahawa gejala ini boleh dielakkan atau kesannya boleh dikurangkan pada awal kehamilan lagi. Saya bernasib baik ketika mengandungkan anak yang pertama, saya berbincang dengan seorang rakan tentang kandungan masing-masing. Pada masa itu secara kebetulan beliau bertanya pada saya, "awak dah start sapu lotion tak kat perut?" Saya agak terkejut sebab kandungan saya pada ketika itu masih 8 minggu lagi, perut masih belum membesar, bagi saya tak perlulah sapu lotion terlalu awal. Jadi inilah petua yang beliau katakan pada saya, setelah kita disahkan hamil, kita patut bersiap sedia menghadapi kesan regangan kulit akibat mengandung dengan menyapu lotion dengan lebih awal pada anggota badan yang biasanya akan meregang seperti di bahagaian perut, punggung dan paha. Tapi nak sapu lotion apa? Sebenarnya apa-apa lotion untuk kulit anda boleh gunakan, tapi yang penting perlu istiaqamah dengan menyapu dua kali sehari. Kalau anda beli lotion khas yang mahal untuk mengandung seperti cocoa butter pun tak guna jika anda tak istiqamah. Alhamdulillah, hasil petua daripada rakan saya itu, setelah 4 kali kehamilan, saya tidak mengalami kesan regangan atau strecth mark pada kulit. Percayalah..menyapu lotion dengan pada awal kehamilan patut dilakukan dengan lebih awal, jangan tunggu sehingga perut membesar baru nak sapu lotion. Tapi, walaupun dah sapu lotion anda akan rasa kegatalan pada perut akan dialami juga akibat regangan kulit teruatama menjelang bulan ketujuh kehamilan, tapi jangan pulak menggaru perut dengan teruk, nanti anda juga yang menyesal sebab kulit akan jadi tak cantik. Cukup hanya dengan menggosok bahagian yang gatal je. Selamat mencuba ye.

Sunday 19 February 2012

Kursus mengajar Al-Quran kepada Bayi dan Kanak-kanak


Pernah tak anda terfikir untuk mengajar anak membaca Al-Quran bermula daripada usia bayi. Bagi saya, saya memang inginkan anak boleh membaca Al-Quran bermula dari kecil, tapi saya tidak ada bayangan yang tepat, bilakah masa yang sesuai untuk mengajar anak saya membaca Al-Quran. Saya fikir mungkin ketika mereka sudah mencapai umur 4 tahun?
Alhamdulillah, bila mana saya perlukan panduan tentang bila dan bagaimana mendidik anak agar cepat membaca Al-Quran, pada suatu hari, teman baik saya telah menghubungi saya dan mengajak saya untuk sama-sama hadir ke Kursus mengajar Al-Quran kepada bayi dan kanak-kanak. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, dan saya amat berterima kasih kepada rakan baik saya Husna kerana sudi mengajak saya bersama.
Kursus ini adalah anjuran Islamic parenting network.  Kursus ini bukanlah kursus untuk belajar ilmu tajwid atau kelas mengaji, tetapi ia lebih kepada cara bagaimana kita memperkenalkan al-Quran kepada anak kita sedari usia bayi lagi. Dalam kursus ini, Puan Lina (penceramah) akan berkongsi pengalaman bagaimana beliau berjaya mendidik anaknya untuk hafaz 30 surah pendek dalam usia 3 tahun!! Wow sungguh hebat sekali pencapaian ini sehingga jauh disudut hati tertanya-tanya bagaimanakah beliau melakukannya. (rasa cemburu juga ada..kerana ingin juga anak sendiri menjadi seperti itu)
Sepanjang kursus tersebut, Puan Lina menunjukkan cara-cara dan bukti melalui tayangan video tentang kebolehan anak kecilnya menghafaz Al-Quran. Anda pasti kagum dengan Puan Lina sebagaimana juga saya. Kerana beliau bukan seorang ustazah, dan bukan juga seorang hafiz, tetapi beliau berjaya menjadikan anak beliau seorang hafiz hasil daripada usaha beliau yang bersungguh-sungguh sejak anak  berada di dalam kandungan lagi. Dalam kursus ini Puan Lina member panduan bagaimana menjadikan Al-Quran sebagai bacaan  atau amalan harian untuk anak sedari bayi. Beliau juga berkongsi pengalaman bagaimana cara yang efektif untuk mendidik anak mengikut ciri kanak-kanak tersebut.
Setelah menghadiri kursus ini, saya rasa amat bermotivasi untuk mendidik anak saya untuk belajar membaca Al_quran dengan lebih awal. Sedikit sebanyak saya menjadikan ilmu yang dikongsi oleh Puan Lina sebagai panduan dalam mendidik anak saya untuk membaca Al-Quran. Walaupun terasa agak rugi sedikit kerana anak saya yang sulung kini sudah berusia 4 tahun, namun InsyaAllah mudah-mudahan Allah memudahkan usaha ini.
Bagi mereka yang ingin hadir ke kursus ini, adalah lebih baik jika anda dapat hadir suami isteri, sama-sama dapat pergi adalah lebih baik, supaya sepakat dalam mendidik anak. Jika anda pergi seorang diri anda dikenakan bayaran yuran RM150. Tetapi jika anda pergi berdua (bersama pasangan atau teman) maka anda hanya perlu membayar RM280. Maklumat lanjut berkenaan kursus ini bolehla terus melayari laman web berikut:
P/s: Anak-anak kita ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkan mereka.

Sunday 8 January 2012

Masa berkualiti bersama keluarga..


Sekali-sekala main bowling dengan anak-anak
Individu berkerjaya sering sibuk dengan aktiviti harian. Bermula dari bangun tidur, tergesa-gesa menggosok pakaian sehingga masa berharga sebelum subuh itu terbazir tanpa sempat menunaikan 2 rakaat tahajjut kepadaNYA. Lebih malang, si lelaki membuang masa yang panjang di dalam bilik air, kononnya nak bercukur laa, nak syampu laa, sampai terlepas solat 2 rakaat Subuh di surau. Kemudian dengan nada tergesa-gesa cuba mengejutkan anak-anak untuk ke taska dan memarahi meraka jika susah hendak bangun, sedangkan kita semasa kecil lebih teruk dari itu. Lebih malang, jika mempunyai pembantu rumah.. langsung tak sempat jumpa anak-anak sebelum ke tempat kerja. Tanpa sempat bersarapan, kita bergegas pula menyertai meraka yang lain di dalam kesesakan jalan raya. Lumrah alam hidup di kota, terpaksa menempuh 'jem' setiap waktu. Kesempatan hampir sejam di dalam kenderaan pula tidak pernah dimanfaatkan untuk menambahkan ilmu di dada. Walaupun peluang terbentang luas untuk kita memilih siaran Radio IKIM yang confirm ada tazkirah pukul 7.30am atau KL.fm yang ada ceramah seawal pukul 6.45am, tapi kita tetap memilih lagu-lagu yang melalaikan. Prof Dr Muhaya pernah berkata, dia menggunakan masa yang berharga di dalam kesesakan lalulintas untuk mendengar ceramah-ceramah melalui CD yang dibeli. Dengan ilmu yang diperoleh itulah membolehkan dia memberi motivasi yang hebat seperti yang sering kita dengar. Di tempat kerja.. oh terlalu panjang untuk diceritakan. Rutin harian di sudahi dengan menonton rancangan di Astro yang tak pernah miss dibayar setiap bulan. Dalam hati mengatakan, amat rugi kalau tak menonton, sebab setiap bulan kena bayar. Tak kisah la rancangan apa.. yang amat jarang pasti Astro Oasis. Kerana tv kita terlepas solat Maghrib dan Isya di surau. Apatah lagi hendak mendengar majlis ilmu selepas Maghrib, langsung tak pernah. Sedangkan kita tahu, mereka yang tertidur di majlis ilmu pun masih mendapat berkat di sisiNYA. Masa yang sedikit tak pernah digunakan dengan berkualiti untuk keluarga. Sekurang-kurangnya, main la sikit dengan anak-anak atau ajar anak-anak mengaji Iqra ke.. Terakhir, tidur. Kot ye pun, baca la doa sebelum tidur dulu. Okey, harap tulisan ni membantu diriku untuk menjadi insan yang lebih baik.. Insyaallah  

Sunday 18 December 2011

Hijrah atau Tahun Baru

Selepas menyambut tahun baru hijrah (Awal Muharam) kini kita akan menyambut tahun baru 2012. Semua orang akan memikirkan apakah azam tahun baru. Kebanyakan kita termasuk saya sendiri akan memikirkan bagaimana untuk membuat pencapaian terbaik dalam hidup ini dan  kebanyakan memikirkan bagaimana untuk membangunkan material, menambah harta, anak, kecantikan dan kewangan...Banyak yang berazam untuk mengubah kehidupan secara fizikal (yang boleh dilihat oleh mata kasar)..tapi sedikit yang memikirkan untuk berubah secara dalaman iaitu rohani dan sikap..

Perkongsian saya ini adalah berdasarkan beberapa siri ceramah agama yang saya dengar. Sekurang-kurangnya lakukanlah satu perubahan atau hijrah yang baik dalam diri anda. Jika sebelum ini anda seorang pemarah..maka jadikanlah azam baru anda untuk tidak mahu marah-marah. Jika sebelum ini anda seorang perokok maka jadikanlah azam baru anda untuk berhenti merokok, Jika sebelum ini anda suka pukul isteri atau anak..maka jadikanlah azam baru tahun ini untuk berhenti melakukan sikap buruk ini. Jika sebelum ini anda liat untuk solat jemaah di masjid atau surau (terutama bagi kaum muslimin) maka letakkan azam anda untuk memeriahkan masjid tahun ini dan pada tahun-tahun seterusnya sehingga ke hujung usia anda. Jika sebelum ini anda tidak bertudung maka bertudunglah seperti yang telah diperintahkan Allah dalam surah Annur ayat 31. Selepas berazam maka berusahalah mencapainya..sesungguhnya jalan ke syurga itu amat payah..manakala jalan ke neraka itu amat mudah.

Rasulullah pun dah memberi contoh kepada kita ketika hijrah baginda daripada Mekah ke Madinah..bukan lah sesuatu yang mudah kerana perlu melalui banyak kepayahan dan keperitan. Setelah itu  barulah Islam bersinar ke seluruh pelusuk dunia.

Kami ingin ke sana..