Mulakan dengan Bismillah..

Mulakan dengan Bismillah..

Friday 30 September 2011

Claim insurans konvensional itu 'haram'

Baru-baru ini kami telah mendapat check yang telah ditunaikan dalam akaun lebihan daripada claim insurans (telah tolak hutang bank) akibat kemalangan yang menimpa pada 19 april 2011 yang lalu, mengakibatkan 'total lost' pada kereta vios milik kami ( milik bank- sebab belum habis bayar pada masa itu). Jumlahnya agak banyak juga kerana nilai second value toyota di malaysia ini masih tinggi. Suami saya dengan gembira bercita-cita ingin meletakkan wang tersebut didalam akaun tabung haji kami berdua supaya dapat menunaikan haji dalam usia muda.

Hasil teguran seorang sahabat mengatakan wang tersebut tidak boleh digunakan untuk menunaikan haji kerana kami mencarum dengan insurans konvensional, menyebabkan kami tersentak. Sebenarnya kami tersilap kerana telah memilih insurans konvensional (tokio marine), yang pada masa dahulu tidak terlintas difikiran yang kami akan dapat wang sebanyak itu daripada syarikat insurans tersebut akibat kemalangan. Lalu kami terus  mencari jawapan dalam laman web perunding kewangan islam yang terkenal di malaysia, iaitu zaharudin.net. Sememangnya duit insurans tersebut menjadi haram kepada si pencarum, tetapi menjadi harus hukumnya jika duit tersebut adalah daripada insurans si pesalah (third party) yang melakukan kecuaian sehingga terjadinya kemalangan.

Hakikatnya sekarang ini, wang tersebut diperolehi daripada insurans kami dan bukan daripada third party yang melakukan kesalahan tersebut, walaupun telah jelas dan terang dalam laporan polis dan keputusan polis bahawa dia yang bersalah dan telah di kompaun sebanyak RM300 akibat kecuaian memandu. Bayangkan, hanya kompaun RM300 dan syarikat insurans dia (tidak layak refer sebagai "beliau"..huhu) tidak membayar pampasan kepada kami. Penjelasan oleh wakil syarikat Tokio Marine menyatakan, third party tersebut mengalami kecederaan (patah tulang bahu....impak seat belt la tu..sikit je pun), maka syarikat insurans dia tidak perlu membayar pampasan.

Sememangnya kami dan ahli keluarga sedang berusaha untuk membawa hal ini ke mahkamah untuk memberi pengajaran kepada si third party tersebut..dan menuntut keadilan..mudah-mudahan Allah permudahkan jalan kami atas usaha ini. (Supaya wang insurans tersebut datang daripada insurans third party...dan menjadi 'harus' untuk kami gunakan).

Penjelasan lanjut kenapa insurans konvensional itu haram klik link ini
http://www.zaharuddin.net/perbankan-&-insuran/304-insuran-konvensional-tapi-dilabur-secara-islam.pdf
dan, claim insurans konvensional menjadi harus apabila diperolehi daripada third party klik Q&A ini
http://groups.yahoo.com/group/zaharuddin/message/1525



p/s; muslimin-muslimat...pilihlah takaful islamik..



nissan x-gear..baru di malaysia..warna oren pilihan kami :)
(sumber gambar: google)

Tuesday 6 September 2011

Puasa dua dalam satu - adakah dibolehkan?

Salam Syawal kepada rakan-rakan sekelian. Tiba sudah bulan Syawal yang kita (manusia biasa) nantikan. Sesungguhnya Ramadhan telah berlalu dan alam menangisi pemergiannya. Semoga kita diberi peluang lagi untuk bertemu Ramadhan akan datang. Selalunya topik dan isu yang glamer dikalangan wanita khasnya di bulan syawal ini ialah Puasa dua dalam satu. Apa itu puasa dua dalam satu?? Puasa dua dalam satu itu adalah menggabungkan niat puasa qadha' (puasa wajib) dan niat berpuasa sunat enam hari Syawal dalam satu hari puasa, maka jadilah istilah Puasa dua dalam satu. Kalau diikutkan sembang-sembang sesama rakan ramai juga yang sependapat bahawa boleh menggabungkan 2 niat dalam satu puasa. Kita ikuti kupasan lanjut  bawah:

___________________________________________________

 Dipetik daripada e-book:
Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa
(Puasa Ramadhan: Antara Yang ditinggalkan dan ditokok tambah)

Oleh:
Kapten Hafiz Firdaus Abdullah

Dalam sebahagian kitab fiqh disebut bahawa dibolehkan melaksanakan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Berdasarkan pendapat ini, merupakan satu kelaziman bagi sebahagian orang untuk melaksanakan kedua-dua puasa qadha dan puasa sunat Syawal dalam satu hari. Kebolehan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari adalah pendapat semata-mata dan sehingga kini tidak ditemui dalil yang membolehkannya daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah yang sahih.
Di sini perlu digariskan bahawa manhaj kita dalam beribadah ialah berhenti sehingga diperolehi dalil yang sahih lagi muktamad (qath‘e) yang mensyari‘atkannya. Kita sebagai hamba tidak tahu apa, bila dan bagaimana bentuk ibadah yang akan diterima dan diredhai oleh tuhan yang kita sembah, iaitu Allah 'Azza wa Jalla. Oleh itu kita hanya beribadah sekadar apa yang disyari‘atkan tanpa menambah atau mengubahsuainya. Pendapat manusia, sekalipun kita menghormati dan menyanjunginya, tidak boleh dijadikan hujah untuk menambah atau mengubahsuai sesuatu ibadah.
Justeru yang benar tidak ada amalan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Setiap puasa hendaklah dilaksanakan dalam harinya yang tertentu. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah menjelaskan:[21]
Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Maksud Surah al-Baiyinah 98:05).
Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.
Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.
Tidak dinafikan bahawa amalan puasa “dua dalam satu” rancak disebut-sebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio, ceramah, kuliah, khutbah dan sebagainya. Tidak kurang juga, orang-orang yang menyebutnya adalah mereka yang masyhur dalam menyampaikan cerita-cerita agama. Akan tetapi jika dicermati analisa secara mendalam, akan didapati bahawa apa yang mereka sampaikan adalah pendapat semata-mata tanpa ada dalil yang sahih lagi muktamad yang mendukunginya.
Di sini penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian bahawa kebenaran agama tidak dinilai oleh kemasyhuran seseorang tetapi berdasarkan dalil dan hujah yang disampaikannya. Jika dalam pelbagai urusan duniawi kita semua menekankan nilai fakta dan penelitian, maka hendaklah penekanan yang sama kita praktikkan dalam menerima sesuatu ajaran agama.
 Demikian beberapa perkara yang ditinggalkan dan yang ditokok tambah berkenaan amalan dan hukum puasa yang sempat dibicarakan dalam risalah ini. Perkara-perkara yang dibicarakan merupakan apa yang lazim ditanya dan dibincang bersama penulis dalam kuliah-kuliah dan soal-jawab e-mel. Pasti sahaja perkara-perkara ini tidak memiliki batas maksimumnya kerana selagi mana manusia ingin menjadikan agama sebagai permainan akalnya, selagi itulah akan muncul amalan dan hukum yang berjauhan daripada keaslian al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Nasihat penulis kepada para pembaca, jadikanlah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai tolok ukuran setiap ajaran yang diterima dan diamalkan. Jadikanlah *ayat 59 surah al-Nisa’ yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai manhaj utama dalam beragama.
__________________________________________________________

*Berikut adalah surah al-Nisa' ayat 59 yang dimaksudkan penulis:

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’ 4:59]



Semoga dengan perkongsian ini akan lebih memantapkan ilmu pengetahuan kita..

Monday 5 September 2011

Diari Aidilfitri

Solat Sunat Aidilfitri sendirian

Alhamdulillah..hari raya tahun ini saya diberikan kesedaran dan ilham untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri bersendirian. Sejak saya bersalin anak yang pertama, saya tidak pernah mengerjakan solat sunat hari raya kerana menyangkakan ia hanya dilakukan secara berjemaah di masjid. Saya juga hampir terlupa tentang cara-cara menunaikan solat sunat hari raya Aidlfitri. Alhamdulillah, ceramah seorang ustaz di Tv Al-Hijrah pada malam hari raya telah menyedarkan saya..bahawa solat sunat aidilfitri boleh dilakukan di rumah sendirian. Sesungguhnya Islam itu tidak menyusahkan dan sangat fleksibel. Bersyukur kepada Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Bermaafan di pagi hari Raya

Usai solat Aidilfitri, seperti biasa kami bermaafan sesama ahli keluarga. Hari Raya tahun ini amat bermakna dan mengundang rasa sebak di hati..kerana saya masih dipanjangkan usia untuk menyambut Ramadhan dan menyambut Hari Raya untuk kesekian kalinya. Sesungguhnya diri ini banyak kekhilafan..dan banyak perlu dibersihkan..masih banyak titik-titik hitam di hati perlu dibuang dan dibersihkan. Semoga Allah akan terus membimbing diri ini untuk menggunakan nikmat waktu yang diberikan dengan sebaiknya.

Hari raya pertama di Bandar Baru Bangi

Kunjung-mengunjungi

Memandangkan hari raya hanya setahun sekali, amalan kunjung mengunjungi jiran dan sanak saudara tetap dilakukan. Hampir setiap hari sepanjang cuti hari raya kami manfaatkan untuk mengunjungi saudara jauh dan saudara dekat. Paling jauh kami pergi pada hari raya ini ialah ke Tanjung Ipoh. Mengunjungi Tanjung Ipoh mengundang banyak nostalgia dalam diri saya, sebab berhampirannya terletak asrama penuh STJ Kuala Pilah, tempat saya belajar dan dibesarkan oleh guru-guru dan warden asrama selama lima tahun lamanya. Tanjung Ipoh menggamit kenangan saya bersama Ustazah Maznah. Guru dan warden asrama kami semasa di STJ. Berusaha mendapatkan no telefonnya kerana ingin mengunjungi rumahnya yang telah saya terlupa mana letaknya, walaupun saya pernah pergi ke sana pada hari perkahwinannya. Namun saya gagal, kerana rakan-rakan lain pun sudah lama tidak menghubunginya.

Pada hari raya ketiga, kami pulang ke Sungai Besar, kampung saya sendiri. Di sana juga kami mengunjungi saudara-saudara kami yang banyak menetap di kampung-kampung yang agak terpencil di Sabak Bernam. Kehidupan mereka masih di rumah kampung yang rekabentuknya masih tidak banyak berubah dan masih mengekalkan senibina tradisional.

Berkumpul sekeluarga

Hari raya merupakan saat yang paling manis kerana pada masa ini seluruh ahli keluarga akan berkumpul. Ahli keluarga saya tidak terkecuali, daripada 7 orang adik beradik hanya dua orang yang masih bujang, diserikan pula oleh 12 orang cucu-cucu mak, memang meriah susana hari raya. Hari raya bertambah bermakna apabila amalan kunjung mengunjungi sanak saudara kami lakukan bersama-sama. Sesungguhnya tidak sia-sia orang yang berusaha merapatkan silatulrahim. Seperti Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 36:

" Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jangan kamu sekutukan dia dengan sesuatu pun jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu-bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan jga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri "

Semoga Hari Raya tahun ini lebih bermakna kepada anda semua. Jadikanlah bulan ini sebagai sebab untuk kita ziarah menziarahi. Semoga dengan amalan itu kita mendapat rahmat daripadaNya.