Salam Syawal kepada rakan-rakan sekelian. Tiba sudah bulan Syawal yang kita (manusia biasa) nantikan. Sesungguhnya Ramadhan telah berlalu dan alam menangisi pemergiannya. Semoga kita diberi peluang lagi untuk bertemu Ramadhan akan datang. Selalunya topik dan isu yang glamer dikalangan wanita khasnya di bulan syawal ini ialah Puasa dua dalam satu. Apa itu puasa dua dalam satu?? Puasa dua dalam satu itu adalah menggabungkan niat puasa qadha' (puasa wajib) dan niat berpuasa sunat enam hari Syawal dalam satu hari puasa, maka jadilah istilah Puasa dua dalam satu. Kalau diikutkan sembang-sembang sesama rakan ramai juga yang sependapat bahawa boleh menggabungkan 2 niat dalam satu puasa. Kita ikuti kupasan lanjut bawah:
___________________________________________________
Dipetik daripada e-book:
Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa
(Puasa Ramadhan: Antara Yang ditinggalkan dan ditokok tambah)
Oleh:
Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Dalam sebahagian kitab fiqh disebut bahawa dibolehkan melaksanakan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Berdasarkan pendapat ini, merupakan satu kelaziman bagi sebahagian orang untuk melaksanakan kedua-dua puasa qadha dan puasa sunat Syawal dalam satu hari. Kebolehan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari adalah pendapat semata-mata dan sehingga kini tidak ditemui dalil yang membolehkannya daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah yang sahih.
Di sini perlu digariskan bahawa manhaj kita dalam beribadah ialah berhenti sehingga diperolehi dalil yang sahih lagi muktamad (qath‘e) yang mensyari‘atkannya. Kita sebagai hamba tidak tahu apa, bila dan bagaimana bentuk ibadah yang akan diterima dan diredhai oleh tuhan yang kita sembah, iaitu Allah 'Azza wa Jalla. Oleh itu kita hanya beribadah sekadar apa yang disyari‘atkan tanpa menambah atau mengubahsuainya. Pendapat manusia, sekalipun kita menghormati dan menyanjunginya, tidak boleh dijadikan hujah untuk menambah atau mengubahsuai sesuatu ibadah.
Justeru yang benar tidak ada amalan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Setiap puasa hendaklah dilaksanakan dalam harinya yang tertentu. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah menjelaskan:[21]
Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya. (Maksud Surah al-Baiyinah 98:05).
Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.
Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.
Tidak dinafikan bahawa amalan puasa “dua dalam satu” rancak disebut-sebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio, ceramah, kuliah, khutbah dan sebagainya. Tidak kurang juga, orang-orang yang menyebutnya adalah mereka yang masyhur dalam menyampaikan cerita-cerita agama. Akan tetapi jika dicermati analisa secara mendalam, akan didapati bahawa apa yang mereka sampaikan adalah pendapat semata-mata tanpa ada dalil yang sahih lagi muktamad yang mendukunginya.
Di sini penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian bahawa kebenaran agama tidak dinilai oleh kemasyhuran seseorang tetapi berdasarkan dalil dan hujah yang disampaikannya. Jika dalam pelbagai urusan duniawi kita semua menekankan nilai fakta dan penelitian, maka hendaklah penekanan yang sama kita praktikkan dalam menerima sesuatu ajaran agama.
Demikian beberapa perkara yang ditinggalkan dan yang ditokok tambah berkenaan amalan dan hukum puasa yang sempat dibicarakan dalam risalah ini. Perkara-perkara yang dibicarakan merupakan apa yang lazim ditanya dan dibincang bersama penulis dalam kuliah-kuliah dan soal-jawab e-mel. Pasti sahaja perkara-perkara ini tidak memiliki batas maksimumnya kerana selagi mana manusia ingin menjadikan agama sebagai permainan akalnya, selagi itulah akan muncul amalan dan hukum yang berjauhan daripada keaslian al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Nasihat penulis kepada para pembaca, jadikanlah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai tolok ukuran setiap ajaran yang diterima dan diamalkan. Jadikanlah *ayat 59 surah al-Nisa’ yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai manhaj utama dalam beragama.
__________________________________________________________
*Berikut adalah surah al-Nisa' ayat 59 yang dimaksudkan penulis:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [al-Nisa’ 4:59]
Semoga dengan perkongsian ini akan lebih memantapkan ilmu pengetahuan kita..
My 'ustazah' kat sini believed we can ONLY do that in Syawal, combine puasa 6 & qadha. Of course, I'm not a good student, so I tak laa remember the dalil that she gave :P
ReplyDeletemasa kat sekolah dulu, ustazah cakap tak boleh gabungkan niat, niat puasa qadha dulu, dah habis puasa qadha baru niat puasa enam. Oleh kerana kita puasa qadha pada bulan syawal, so dengan harapan Allah dapat beri juga paha puasa enam tu. Saya sendiri pun tak larat nak puasa enam lepas puasa qadha :-). Sesiapa yang berpuasa penuh di bulan Ramadhan diikuti puasa enam syawal, maka seperti berpuasa setahun.
ReplyDelete