Solat Sunat Aidilfitri sendirian
Alhamdulillah..hari raya tahun ini saya diberikan kesedaran dan ilham untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri bersendirian. Sejak saya bersalin anak yang pertama, saya tidak pernah mengerjakan solat sunat hari raya kerana menyangkakan ia hanya dilakukan secara berjemaah di masjid. Saya juga hampir terlupa tentang cara-cara menunaikan solat sunat hari raya Aidlfitri. Alhamdulillah, ceramah seorang ustaz di Tv Al-Hijrah pada malam hari raya telah menyedarkan saya..bahawa solat sunat aidilfitri boleh dilakukan di rumah sendirian. Sesungguhnya Islam itu tidak menyusahkan dan sangat fleksibel. Bersyukur kepada Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Bermaafan di pagi hari Raya
Usai solat Aidilfitri, seperti biasa kami bermaafan sesama ahli keluarga. Hari Raya tahun ini amat bermakna dan mengundang rasa sebak di hati..kerana saya masih dipanjangkan usia untuk menyambut Ramadhan dan menyambut Hari Raya untuk kesekian kalinya. Sesungguhnya diri ini banyak kekhilafan..dan banyak perlu dibersihkan..masih banyak titik-titik hitam di hati perlu dibuang dan dibersihkan. Semoga Allah akan terus membimbing diri ini untuk menggunakan nikmat waktu yang diberikan dengan sebaiknya.
Hari raya pertama di Bandar Baru Bangi
Kunjung-mengunjungi
Memandangkan hari raya hanya setahun sekali, amalan kunjung mengunjungi jiran dan sanak saudara tetap dilakukan. Hampir setiap hari sepanjang cuti hari raya kami manfaatkan untuk mengunjungi saudara jauh dan saudara dekat. Paling jauh kami pergi pada hari raya ini ialah ke Tanjung Ipoh. Mengunjungi Tanjung Ipoh mengundang banyak nostalgia dalam diri saya, sebab berhampirannya terletak asrama penuh STJ Kuala Pilah, tempat saya belajar dan dibesarkan oleh guru-guru dan warden asrama selama lima tahun lamanya. Tanjung Ipoh menggamit kenangan saya bersama Ustazah Maznah. Guru dan warden asrama kami semasa di STJ. Berusaha mendapatkan no telefonnya kerana ingin mengunjungi rumahnya yang telah saya terlupa mana letaknya, walaupun saya pernah pergi ke sana pada hari perkahwinannya. Namun saya gagal, kerana rakan-rakan lain pun sudah lama tidak menghubunginya.
Pada hari raya ketiga, kami pulang ke Sungai Besar, kampung saya sendiri. Di sana juga kami mengunjungi saudara-saudara kami yang banyak menetap di kampung-kampung yang agak terpencil di Sabak Bernam. Kehidupan mereka masih di rumah kampung yang rekabentuknya masih tidak banyak berubah dan masih mengekalkan senibina tradisional.
Berkumpul sekeluarga
Hari raya merupakan saat yang paling manis kerana pada masa ini seluruh ahli keluarga akan berkumpul. Ahli keluarga saya tidak terkecuali, daripada 7 orang adik beradik hanya dua orang yang masih bujang, diserikan pula oleh 12 orang cucu-cucu mak, memang meriah susana hari raya. Hari raya bertambah bermakna apabila amalan kunjung mengunjungi sanak saudara kami lakukan bersama-sama. Sesungguhnya tidak sia-sia orang yang berusaha merapatkan silatulrahim. Seperti Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 36:
" Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jangan kamu sekutukan dia dengan sesuatu pun jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu-bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan jga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri "
Semoga Hari Raya tahun ini lebih bermakna kepada anda semua. Jadikanlah bulan ini sebagai sebab untuk kita ziarah menziarahi. Semoga dengan amalan itu kita mendapat rahmat daripadaNya.
No comments:
Post a Comment